TIDAK PATUH SOP PUNCA KES DI KELANTAN MASIH TINGGI – KJ

KOTA BHARU: Kurang pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 dan tidak melaporkan ujian kendiri dikesan antara punca kes di Kelantan masih tinggi, berbanding negeri lain.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata kadar positif yang bergejala juga dikesan agak tinggi iaitu 40 peratus selain penularan tinggi dikesan dalam komuniti, kontak rapat dan sporadik.

“Kelantan antara negeri di mana jumlah kompaun adalah paling tinggi. Kita telah minta pematuhan SOP ditingkatkan di negeri ini.

“Dalam lawatan sehari saya di Kelantan, saya dapati agak longgar pematuhan SOP rakyat di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Hospital Raja Perempuan Zainab 2 (HRPZ 2) Kota Bharu.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin.

Ujar Khairy, kerajaan akan menekankan tiga aspek iaitu aspek pematuhan SOP, meningkatkan suntikan vaksin selain meningkatkan saringan di kalangan kontak rapat bagi memastikan kes COVID-19 di Kelantan diturunkan untuk membolehkan negeri itu memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau turut meminta Jabatan Kesihatan Negeri mengesan dan memujuk penduduk yang belum mendapatkan vaksin terutama golongan rentan yang berisiko tinggi supaya membuat suntikan segera. – AlHijrah Online

Leave a Reply