TRAGEDI KANJURUHAN: KETUA POLIS MALANG DIPECAT, 9 ANGGOTA ELIT DIGANTUNG

Foto Facebook

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Malang, Indonesia dilaporkan telah dipecat dan sembilan pegawai polis elit digantung kerja susulan insiden rempuhan di Stadium Kanjuruhan pada Sabtu lalu yang mengorbankan 174 nyawa dan lebih 320 mangsa cedera.

Menurut jurucakap Polis Negara, Dedy Prasetyo berkata Ketua Polis Malang telah dipecat pada Isnin manakala sembilan anggota polis elit yang digantung tugas bakal berdepan dengan hukuman jika disabit bersalah semasa perbicaraan tatatertib.

“Seramai 19 pegawai polis lain yang bertanggungjawab menembak gas pemedih mata itu juga sedang disiasat.

“Polis juga sedang menyoal siasat saksi dan menganalisis video daripada 32 kamera keselamatan di dalam dan luar stadium serta sembilan telefon bimbit milik mangsa sebagai sebahagian daripada siasatan yang akan turut mengenal pasti suspek,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Joko Widodo telah mengeluarkan arahan bahawa liga bola sepak perdana itu akan digantung sehingga penilaian semula keselamatan dilakukan dan tahap keselamatan telah diperketatkan.

Selain itu, Menteri Keselamatan Mohammad Mahfud berkata, beliau akan mengetuai siasatan bagi meneliti pelanggaran undang-undang dalam insiden tersebut sekaligus akan memberikan cadangan kepada presiden berhubung penambahbaikan yang boleh dibuat.-AlHijrah Online

Leave a Reply