SELAMA: Seorang warden asrama Sekolah Menengah Islam IQKL maut selepas kereta dipandunya terbabas sehingga merempuh tiang elektrik, di Kampung Lubuk Pusing, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah (IPD) Selama, Supt Sarudin Samah mengesahkan kejadian tersebut sambil berkata, mangsa, Nurul Nadirah Jihadi, 28, terlibat dalam kemalangan tersebut kira-kira jam 6.21 petang semalam.
Katanya, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Bezza dipercayai hilang kawalan sebelum termasuk ke dalam longkang jalan.
“Mangsa difahamkan hilang kawalan lalu termasuk ke dalam longkang jalan dan merempuh tiang elektrik di lokasi kejadian sebelum kereta dipandunya terbalik.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Selama untuk dibedah siasat,” katanya.
Kes tersebut disiasat mengikut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.—AlHijrah Online