100 PERATUS POPULASI DEWASA LENGKAP VAKSINASI MENJELANG AKHIR OKTOBER

PUTRAJAYA: Malaysia dijangka mencapai 100 peratus populasi dewasa menerima vaksinasi COVID-19 lengkap menjelang akhir Oktober ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin menerusi hantaran di Facebook beliau berkata, jangkaan tersebut diyakini untuk dicapai berdasarkan prestasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang memberangsangkan setakat ini.

“Saya telah diberi taklimat oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) pagi tadi. Alhamdulillah, proses vaksinasi berjalan mengikut jadual setakat ini.

“Menjelang 31 Ogos, lebih 60 peratus penduduk dewasa atau lebih 40 peratus keseluruhan penduduk di negara kita dijangka telah menerima dos lengkap suntikan vaksin,” katanya.

Menurut Muhyiddin, menurut data terkini di dalam dan luar negara, jumlah kes-kes dalam kategori empat dan lima serta kadar kematian akan menurun dengan mendadak apabila kadar vaksinasi telah meningkat.

“Ini pastinya merupakan khabar gembira buat kita semua menjelang sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

“InsyaAllah, kita doakan agar negara kita dapat keluar daripada pandemik ini dengan kadar segera,” katanya.

Setakat 8 Ogos, Malaysia berjaya mencapai 67.4 peratus dos pertama dan 37.5 peratus dos kedua bagi populasi dewasa.

Manakala, bagi jumlah populasi keseluruhan, sejumlah 48.3 peratus dos pertama manakala 26.9 peratus dos kedua telah diberikan.—AlHijrah Online

Leave a Reply