3,928 Orang Asli peluk Islam hasil dakwah Petama

Syed Ibrahim (tengah) mengetuai pengislaman seramai 47 saudara baharu di Yayasan Pahang hari ini. FOTO SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR – Seramai 3,928 Orang Asli memeluk Islam hasil dakwah pembantu penggerak lulusan Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli Yayasan Pahang (Petama) sejak 2008 hingga Julai lalu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagaimana laporan Sinar Harian hari ini berkata, dakwah oleh pembantu penggerak itu berjaya membuka hati masyarakat Orang Asli memilih Islam.

“Sehingga kini, Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) melahirkan seramai 799 pelajar Orang Asli yang mampu menjadi pemimpin Islam dan ejen perubahan serta pembangunan di dalam masyarakat mereka sendiri.

“Saya harap semua saudara baru dapat meneruskan dan meningkatkan keimanan serta ketakwaan kepada ALLAH SWT pada masa akan datang,” katanya dipetik Sinar Harian (SH) pada majlis pengislaman dan meraikan saudara baru di Yayasan Pahang, Kuantan, hari ini.

Petama yang diwujudkan oleh Yayasan Pahang pada Mei 1998 lalu diuruskan Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) iaitu anak syarikat milik penuh Yayasan Pahang.

Laporan SH itu juga berkata, selain pengislaman seramai 47 orang saudara baharu yang terdiri daripada masyakat Orang Asli dari Rompin hari ini, turut diraikan 21 orang saudara baru yang telah memeluk Islam baru-baru ini yang terdiri daripada Cina, India, Bumiputera Sarawak dan Orang Asli.

Leave a Reply