JANGAN ABAIKAN MAKLUMAT CIA
Ada satu persamaan antara kes tembakan di Orlando dan serangan bom di Puchong: Penyerang tidak mempunyai hubungan fizikal dengan IS tetapi menyokong ideologi keganasan secara ekstrem.
Bagi kes di Orlando – Pengarah CIA Amerika Syarikat, John Brennan mengaku: “IS sudah berjaya merekrut ramai penyokong ideologi keganasan di Barat. Malah, menangani serangan domestik penyokong IS sama besar bebannya seperti menyerang pusat ketenteraan IS itu sendiri!”
Brennan memberikan keterangan di hadapan Kongres AS pada 30 Jun lalu. Sesi itu disiarkan secara langsung oleh CNN dan diikuti lebih 600 juta penonton di seluruh dunia.
Brennan memimpin CIA – sebuah agensi keselamatan terbesar di dunia. CIA bertanggung jawab pada 330 juta penduduk AS, negara regim ekonomi nombor satu dunia.

John Brennan
Kata Brennan pada Kongres: “Realitinya… sekalipun kita berjaya menentang IS di medan perang, kita belum mampu menangani kekuatan IS untuk terus mengugat keselamatan dunia secara global!”
Brennan berdepan dengan Kongres 18 hari selepas tragedi serangan ke atas pub gay di Orlando pada 12 jun yang membunuh 48 nyawa. Malah, Brennan menyampaikan mesej penting pada Kongres AS: Penyerang bernama Omar Mateen, 30, tidak mempunyai sebarang hubungan fizikal dengan IS. Omar warga AS keturunan Afghan ialah produk ideologi IS yang dilahirkan melalui doktrin kempen keganasan bersifap anti AS.

Omar Mateen
Malah, Kongres turut diberi amaran oleh CIA bahawa IS bakal mengubah strategi dengan merekrut lebih banyak pengganas secara global dan tidak lagi menumpukan kepada model ketenteraan di Syria dan Iraq.
CIA tidak hanya menghantar mesej pada Kongres. Amaran perisikan oleh Brennan sebenarnya satu fakta eksklusif pada agensi keselamatan seluruh dunia.

Pengeboman berhampiran Masjid Nabawi
Empat hari selepas kenyataan Brennan, Arab Saudi digegarkan dengan siri tiga serangan bom di Madinah, Qatif dan Jeddah pada 4 Julai. Kenyataan dan maklumat perisikan Saudi pada 7 Julai mengukuhkan lagi kenyataan Brennan. Dua pengebom bunuh diri disahkan warga tempatan. Pengganas di Madinah dikenali sebagai Naer Moslem Hammad al-Balawi, 26. Manakala penyerang yang maut di Qatif, Abderrahman Saleh Mohammed al-Amr, 23. Seorang lagi pengebom warga Pakistan yang 12 tahun menetap di Mekah. Seorang lagi belum dikenal pasti.

Abderrahman Saleh Mohammed al-Amr
Dua penyerang warga Saudi ini tidak pernah ada hubungan fizikal dengan IS. Malah, memiliki profil yang kontras. Seorang bekas penagih dadah dan seorang lagi aktivis demontrasi.
Ini realiti profiling yang mesti diawasi. Ideologi IS menyerap dan mempengaruhi segmen sosial yang pelbagai. Ideologi yang didoktrinkan sejak Oktober 2014 kini menampakkan hasil di seluruh dunia.
Omar Mateen di AS dan dua pengebom maut di Saudi adalah hasil tuaian IS setelah 2 tahun berkempen menyebarkan ideologi melalui media baharu. IS sudah tidak lagi mengimport pejuang masuk ke Iraq dan Syria. Modelnya sekarang – mengeksport ideologi dan membentuk ekstrimis ke seluruh dunia.
Apa kaitan analisis fakta bagi kes di Orlando dan pengeboman tiga serangkai di Arab Saudi serta relevannya dengan kejadian serangan bom di Puchong? Setakat ini secara profiling – ada persamaan: Suspek kes Puchong yang ditahan Jasanizam Rosni, 33 dan suspek buruan Md Saifuddin Muji tidak pernah berada di kem militan IS. Profil pengganas kes AS, Saudi dan Puchong sangat paralel: Pengganas muda yang didoktrin secara online.
Berdasarkan fakta ini, sekali lagi amaran Brennan pada Kongres perlu diberikan perhatian: “IS kini bersedia melancarkan lebih banyak serangan menggunakan penyokong ideologi!”
Selain itu – CIA mendedahkan: IS juga telah mengeksport pejuangnya ke seluruh dunia untuk menambahkan lagi siri serangan. Kali ini secara kombinasi antara pejuang terlatih dan penyokong ideologinya.
Sekali lagi diingatkan: Kejadian serangan bom di AS dan Saudi dilakukan oleh penyokong IS dalam negara tersebut.
Tetapi jangan lupa! Serangan pengebom berani mati di Lapangan Terbang Ataturk pada 28 Jun lalu, dilakukan tiga pengganas warga asing dan bukan rakyat Turki. Nampaknya fakta CIA dan kenyataan Brennan sangat tepat sekali!