ANWAR IBRAHIM SELESAI ANGKAT SUMPAH PM KE-10

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini, pada pukul 5.06 petang.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Istiadat angkat sumpah berkenaan diadakan selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara pagi tadi bagi membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, lima hari selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Turut berangkat ke istiadat berkenaan adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Anwar, 75, yang berbaju Melayu hitam lengkap bersamping warna keemasan diriingi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Sejurus mengangkat sumpah, Ahli Parlimen Tambun itu menandatangani beberapa dokumen berkaitan sebelum upacara itu diakhiri dengan bacaan doa yang dipimpin Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah.

Upacara disaksikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Turut hadir, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Pemimpin parti politik yang hadir ialah pemimpin parti komponen PH iaitu Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Presiden UPKO Wilfred Madius Tangau.

Turut hadir, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, serta anak-anak dan menantu Anwar.

Buat pertama kali dalam sejarah negara, keputusan pilihan raya umum berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan. Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi.

PRU-15 pada 19 Nov menyaksikan keputusan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar parti dan gabungan politik mempertimbangkan penubuhan kerajaan perpaduan bagi mengakhiri kemelut pembentukan kerajaan pasca PRU-15, akhirnya hasil rundingan antara parti bersetuju dan menyokong pembentukan kerajaan perpaduan yang diterajui PH.–AlHijrah Online

Leave a Reply