
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menjelaskan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan yang dilaksanakan pada 2018 berjaya menangani kerugian pelaburan berjumlah RM12.6 bilion, sekali gus mengelakkan institusi itu daripada berdepan krisis kewangan serta melindungi kepentingan pendeposit.
TH dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan daripada jumlah itu, RM10 bilion ditangani menerusi Pelan Pemulihan 2018, manakala baki RM2.6 bilion diselesaikan secara berperingkat sehingga akhir 2025.
“Jika tiada tindakan ‘bailout’ oleh kerajaan pada masa itu, ia juga boleh menyebabkan krisis pasaran kewangan dan menggugat kestabilan negara apabila TH terpaksa menjual aset pada harga terdesak di pasaran bagi memenuhi permohonan pengeluaran tunai yang besar dan tidak terkawal oleh pendeposit (deposit run) ketika TH gagal mengisytiharkan agihan keuntungan kepada pendepositnya,” menurut kenyataan itu.
Menurut TH, pelan penstrukturan semula pada 2018 dilaksanakan bagi menangani defisit kewangan yang memerlukan tindakan penyelamatan segera selepas jurang antara aset dan liabiliti melebihi RM10 bilion pada akhir tahun berkenaan.
TH memaklumkan syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), membeli aset bernilai RM9.7 bilion pada jumlah RM19.9 bilion bagi menutup defisit sekali gus membolehkan agihan keuntungan diisytiharkan bagi tahun 2018.
Pada tahun ini, TH turut membeli semula tanah di Tun Razak Exchange (TRX) pada harga pasaran RM270 juta berbanding harga jualan asal RM400 juta kepada UJSB serta mengambil alih semula ladang kelapa sawit UJ Estates (Holdings) Sdn Bhd pada harga RM695 juta berbanding RM800 juta sebelum ini.
“Transaksi ini menunjukkan TH hanya akan mengambil alih semula aset yang memberi nilai tambah kepada portfolio pelaburan demi menjaga kepentingan para pendepositnya.”
TH turut memaklumkan kadar agihan keuntungan terus menunjukkan peningkatan kepada 3.25 peratus bagi tahun 2024 dan 3.5 peratus bagi 2025 berbanding 1.25 peratus pada 2018, selepas mengambil kira rosot nilai aset bermasalah berjumlah RM2.6 bilion yang tidak dapat dipindahkan kepada UJSB.
Menurut TH, kedudukan kewangannya kini lebih kukuh selain institusi itu mula membina semula rizab untuk memastikan masa depan yang lebih stabil.
“TH kekal komited untuk melindungi kepentingan para pendeposit, mengukuhkan kepercayaan awam serta memastikan institusi ini terus beroperasi dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.” — AlHijrah Online.