BALU MUHAMMAD WANNDY DI SYRIA AKAN DIBAWA PULANG?

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan agensi perisikan asing untuk membawa pulang balu kepada Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, Nor Mahmudah Ahmad ke tanah air dari Syria.
Balu kepada perekrut militan Daesh yang terbunuh di Syria pada Mei 2017 itu, antara 39 rakyat Malaysia yang masih ditahan di wilayah konflik itu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dalam laporan Sinar Harian berkata, PDRM berdepan masalah untuk melepasi kawasan di Syria yang membabitkan tiga kawalan keselamatan iaitu kawalan kerajaan Syria, pakatan Amerika Syarikat serta militan Daesh.
“Kita hadapi masalah di situ. Tapi, pihak agensi perisikan asing sedang membantu kita untuk membawa mereka keluar.
“Kita mesti bawa mereka pulang kerana dia rakyat kita. Tindakan bila dia sampai ke sini (Malaysia) kita akan pertimbangkan apa bentuk tindakan itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Lawatan Kerja Ketua Setiausaha Negara di Lapang Sasar Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sini hari ini.
Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.
Abdul Hamid berkata tindakan membawa pulang itu bukan hanya membabitkan Nor Mahmudah tetapi kepada semua isteri yang dikatakan terlibat dengan ‘pejuang-pejuang’ itu.
“Bukan setakat kepada keluarga Wanndy sahaja, tapi semuanya yang mana kita dapat tahu mereka berada di bawah tahanan pihak tertentu,” katanya.
Perekrut rakyat Malaysia untuk militan Daesh, Muhammad Wanndy disahkan terbunuh dalam serangan di Raqqa, Syria pada Mei 2017.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas (E8) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sebelum ini dilaporkan berkata seramai 39 rakyat Malaysia ditahan di Syria meliputi 10 lelaki, 11 wanita, 12 kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan.