PERTUKARAN SKIM TIDAK LIBATKAN PENJAWAT AWAM SEDIA ADA: KSN

KUALA LUMPUR: Cadangan menggantikan skim tetap dan berpencen tidak melibatkan penjawat awam sedia ada, dan ia hanya melibatkan lantikan baharu bermula tahun hadapan.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ismail Abu Bakar bagaimanapun berkata, perkara itu masih dalam peringkat kajian dan belum diputuskan.

“Mungkin tahun depan baru dapat keputusan, untuk melaksanakan cadangan berkenaan atau memerlukan penambahbaikkan.

“Kita sedia maklum bahawa tentera dan polis semua adalah perkhidmatan awam yang memerlukan kesinambungan, sama ada mereka terlibat atau tidak (pertukaran skim tetap dan berpencen) atau perkhidmatan awam sahaja yang terlibat,” katanya kepada pemberita ketika lawatan kerja KSN di Unit Tindak Khas Polis Diraja Malaysia di Lapang Sasar Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am Cheras di sini.

Rabu lepas, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Borhan Dolah berkata mulai tahun depan (2020), lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen, sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik.

Langkah itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam pada Oktober 2018, yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfrasa dan lantikan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan kenaikan gaji anggota polis, beliau berkata perkara berkenaan masih dalam kajian dan bergantung kepada kemampuan kewangan negara.

“Selain itu, penstrukuran elaun pasukan anggota keselamatan negara akan juga ditambah baik dari semasa ke semasa dan dilihat secara keseluruhan,” katanya. — BERNAMA

Leave a Reply