
PENDANG: Bangunan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Gajah Mati di Kampung Charok Kudong di sini, dilaporkan terbakar, pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan memaklumkan kemusnahan kebakaran bangunan itu dianggarkan mencecah 70 peratus.
“Kebakaran melibatkan bangunan dua tingkat berkeluasan kira-kira 222.97 meter persegi dengan anggaran kemusnahan 70 peratus.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.27 pagi,” katanya sambil memaklumkan punca kejadian masih dalam siasatan.
Kejadian mencemaskan itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa selepas kanak-kanak dan tenaga pengajar yang berada di lokasi berjaya diselamatkan.—AlHijrah Online