
SHAH ALAM: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB), Azlizan Fadzil, 52, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM37.37 juta pada 2017.
Azlizan yang hadir ke mahkamah menggunakan kerusi roda membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, Azlizan yang ketika itu memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif UHSB didakwa telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang berjumlah RM37,374,612.68.
Wang berkenaan diperuntukkan bagi tujuan pelaburan pembangunan projek penjanaan elektrik solar photovoltaic berskala besar berkapasiti 50 megawatt (MW) di Gambang, Pahang.
Bagaimanapun, dia didakwa menyalahgunakan wang tersebut dengan membuat pembayaran bagi tujuan lain selain daripada pelaburan yang ditetapkan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad Cawangan UiTM Shah Alam, Level 2, Menara Sultan Abdul Aziz Shah, dalam daerah Petaling, Selangor antara 2 Februari hingga 2 Oktober 2017.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. — AlHijrah Online.