BELUM ADA PETUNJUK KES CURI BATU NISAN

JOHOR BAHRU: Polis sedang memburu individu yang terlibat dalam kejadian batu nisan dicuri melibatkan 11 kubur di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau, Taman Istimewa, Pandan, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata, pihaknya masih giat mengesan individu terlibat dan setakat ini masih belum dapat sebarang petunjuk.
Katanya, polis telah melakukan pemeriksaan dan tangkapan terhadap penagih dadah di bandar raya dan di kawasan sekitar tanah perkuburan itu.
“Kita juga sudah membuat pemeriksaan terhadap pengusaha batu nisan di kawasan berhampiran tetapi tiada petanda positif,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Sebelum ini media melaporkan sebanyak 11 kubur di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau di Taman Istimewa, Pandan, ‘hilang’ batu nisan dipercayai dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab untuk dijual semula.
Kebanyakan batu nisan dicuri adalah jenis batu sungai yang harganya mencecah lebih RM450 bagi satu set.
Selain batu sungai, turut dicuri batu nisan putih yang bernilai sekitar RM350 satu set.
Difahamkan kejadian tersebut kali pertama berlaku di tanah perkuburan yang dibuka sejak awal 90-an itu.—AlHijrah Online