BERLAPANG DADA, AMAL POLITIK MATANG DAN BERHIKMAH MENJELANG PRN – YADIM

Gambar hiasan (NSTP)

Oleh Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, Yang Dipertua YADIM

Bukan lagi rahsia, insiden bermasam muka, mengelak daripada menyapa, tuduhan kafir mengkafir, enggan berimamkan solat dan pelbagai lagi perkara yang lebih teruk telah berlaku akibat perbezaan politik di negara ini. 

Sedangkan yang bermasam muka, yang dikafirkan itu adik beradik, sesama saudara, yang tinggal dalam komuniti bersama. 

Umat Islam di negara ini, sememangnya sedar adalah amat merugikan sekiranya silaturahim antara mereka terputus angkara perbezaan politik, namun malangnya ia tetap berlaku. 

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Nor baru baru ini menasihatkan supaya umat Islam tidak terlalu ekstrem dalam berpolitik.

Ujarnya, silaturahim tidak harus diputuskan walau dengan apa sebab sekalipun, hatta apabila seseorang disakiti atau dianiaya.

Dengan Pilihan Raya Negeri yang bakal menjelang tidak lama lagi, YADIM menyeru semua pihak berlapang dada, berpolitik dengan matang dan berhikmah, malah lebih baik lagi profesional dan budiman (gentleman) dalam berkempen dan tetap menyatukan ummah.

Selesai pertarungan politik semasa pilihanraya negeri kelak, sama-sama lah bekerjasama untuk masyarakat. 

Ambillah iktibar firman Allah dalam Surah Al Hujurat ayat 10 yang membawa maksud : “Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudara kalian itu dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kalian mendapat rahmat.” 

Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah sempena Hari Keputeraan baginda juga telah bertitah agar tidak menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik. 

Baginda mengajak semua pihak membuang agenda retorik perpecahan dengan bersatu hati untuk mengemudi negara ke arah pembentukan masa hadapan lebih baik. 

YADIM percaya, umat Islam di negara ini mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai hal ini. Justeru selepas ini semua pihak diseru bersama sama meninggalkan perilaku merugikan ini dan meletakkan persaudaraan ummah sebagai keutamaan. –AlHijrah Online

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply