Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

BANJIR ACEH: DI SAAT UJIAN, KITA MEMILIH UNTUK BERSAMA

DUNIA

BANJIR ACEH: DI SAAT UJIAN, KITA MEMILIH UNTUK BERSAMA

Aceh sedang melalui fasa yang sunyi tetapi berat. Air banjir mungkin telah beransur surut, namun kesannya masih meninggalkan ‘luka’ yang mungkin mengambil masa untuk sembuh. Daripada sawah yang bertukar menjadi lautan lumpur, kepada perkampungan yang lenyap dan berubah menjadi sungai sehinggalah terbitnya krisis makanan, kesihatan dan ekonomi yang semakin meruncing

Sumber: AFP

Oleh: Nadzirah Sharingat

Aceh sedang melalui fasa yang sunyi tetapi berat. Air banjir mungkin telah beransur surut, namun kesannya masih meninggalkan ‘luka’ yang mungkin mengambil masa untuk sembuh. Daripada sawah yang bertukar menjadi lautan lumpur, kepada perkampungan yang lenyap dan berubah menjadi sungai sehinggalah terbitnya krisis makanan, kesihatan dan ekonomi yang semakin meruncing. Inilah wajah sebenar Aceh pasca bencana. Ia bukan sekadar simpulan cerita ringkas di TikTok atau Instagram, tetapi realiti getir yang sedang dihadapi ribuan keluarga.

Hasil tinjauan lapangan krew Berita Alhijrah bersama delegasi Badan Kemanusiaan Muslim Care di Daerah Pidie Jaya dan Bireuen baru-baru ini, ia memperlihatkan dengan jelas bahawa proses pemulihan pasca bencana menuntut lebih daripada sekadar masa. Ia menuntut kefahaman tentang bagaimana rasanya hidup tanpa air bersih, tanpa bekalan makanan yang mencukupi, dan tanpa kepastian hari esok. Belum dikira lagi situasi yang lebih mendesak di kawasan seperti Aceh Tamiang, Langsa dan Sumatera yang digambarkan lebih teruk amukan banjir dan tanah runtuh akibat ribur tropika Senyar. 

Dalam kerangka inilah, kehadiran bantuan dari Malaysia ke Aceh dilihat sebagai satu bentuk keprihatinan sesama insan, berlandaskan semangat kejiranan dan persaudaraan serantau. Ketika Republik Indonesia enggan mengisytiharkan banjir yang diibaratkan seperti Tsunami kedua ini sebagai Bencana Nasional, malah menolak bantuan luar, Malaysia hadir bukan untuk menjadi tumpuan, apatah lagi untuk menilai atau membandingkan. 

Bantuan yang disalurkan bertujuan melengkapi usaha pemulihan yang sedang digerakkan oleh pihak tempatan, sambil menghormati peranan dan kedaulatan semua pihak yang terlibat. Kehadiran ini juga tidak membawa sebarang niat untuk menafikan atau memburukkan usaha berterusan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Indonesia dan pihak berkuasa tempatan, sebaliknya bergerak seiring dalam semangat saling membantu demi kesejahteraan rakyat Aceh.

Di lapangan, bantuan yang diterima tidak disambut dengan sensasi, sebaliknya dengan kesederhanaan yang sarat makna. Ia menjadi isyarat bahawa solidariti tidak semestinya lantang untuk dirasakan, dan empati tidak perlu diumumkan untuk difahami. Hubungan antara masyarakat Aceh dan Malaysia, yang telah lama terjalin melalui sejarah dan nilai bersama, kembali dizahirkan dalam bentuk sokongan yang tenang dan beradab.

Dalam dunia yang sering terdedah kepada perbezaan dan salah faham, pendekatan mendamaikan ini mengingatkan bahawa kemanusiaan adalah titik pertemuan yang paling asas. Bantuan Malaysia ke Aceh tidak berdiri sebagai simbol siapa lebih berupaya, tetapi sebagai tanda bahawa musibah tidak seharusnya memisahkan, sebaliknya mendekatkan.

Aceh kini melangkah perlahan ke hadapan, dengan sokongan pelbagai pihak. Setiap sumbangan, tanpa mengira skala dan asalnya, adalah sebahagian daripada usaha kolektif untuk memulihkan kehidupan dan menyalakan kembali harapan. Dalam perjalanan ini, Malaysia memilih untuk hadir dengan rendah hati membantu seadanya ketika diperlukan, dan berundur dengan tertib apabila peranan itu selesai. Kerana dalam saat ujian, kebersamaan itulah yang paling bermakna.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading