
Malaysia berdepan amaran cuaca ekstrem berikutan potensi berlakunya fenomena El Nino dengan intensiti kuat, yang dijangka berterusan sehingga awal tahun 2027.
Amaran itu berdasarkan maklumat kaji cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) berikutan Monsun Barat Daya sejak 14 Mei lalu.
Kehadiran El Nino kuat ini diramal bakal mengakibatkan taburan hujan berkurangan dengan drastik, sekali gus mencetuskan cuaca yang jauh lebih panas dan kering berbanding kebiasaan.
Fenomena berpanjangan ini dijangka memberi implikasi besar terhadap sektor pertanian negara, risiko penyusutan paras air empangan utama, serta melonjakkan risiko insiden pembakaran terbuka yang boleh menyumbang kepada krisis jerebu sekiranya tidak dibendung segera.
Bagi mendepani ancaman ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menetapkan strategi dan pelan tindakan awal termasuklah persediaan bagi operasi pembenihan awan di kawasan terjejas teruk, kawalan kebakaran terbuka serta kesiapsiagaan infrastruktur tanah gambut. katanya dalam kenyataan.
Impak cuaca kering berpanjangan ini juga bakal dibawa ke peringkat serantau pada 8 dan 9 Julai ini di Bali menerusi Mesyuarat Ke-27 Ministerial Steering Committee (MSC) yang membahaskan tentang pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.
Kerajaan mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil mudah amaran El Nino kuat ini. Sebarang aktiviti pembakaran terbuka atau membiarkan tanah diceroboh sehingga mencetuskan kebakaran adalah dilarang sama sekali.
Tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu atau pemilik tanah yang tidak bertanggungjawab
Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pelaku boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM1 juta, penjara sehingga 5 tahun, atau kedua-duanya sekali serta kompaun maksimum sehingga RM500,000. — AlHijrah Online