Connect with us

ALHIJRAH NEWS

TIADA ARAHAN SIMPAN BEKALAN MAKANAN 72 JAM – MOHAMAD SABU

DALAM NEGARA

TIADA ARAHAN SIMPAN BEKALAN MAKANAN 72 JAM – MOHAMAD SABU

Mohamad memberi jaminan bahawa stok beras negara ketika ini adalah mencukupi untuk tempoh enam bulan dan akan terus ditambah.

Sumber: BERNAMA

BUKIT KATIL: Kerajaan tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada orang ramai supaya menyimpan bekalan makanan bagi tempoh 72 jam seperti disarankan Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik, sebaliknya meneruskan perbelanjaan harian seperti biasa mengikut keperluan masing-masing.

“Memang kita akui risau dengan situasi semasa termasuk ancaman siber, tetapi kita belum sampai ke peringkat untuk mengeluarkan arahan supaya rakyat menyimpan bekalan makanan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Himpunan Semarak Tani Jualan Agro MADANI di Bukit Katil, di sini hari ini.

Semalam, FOMCA menyarankan pengguna supaya menyediakan stok makanan dan barangan keperluan asas untuk tempoh sekurang-kurangnya 72 jam, sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi kemungkinan gangguan bekalan akibat ketidaktentuan geopolitik global dan bencana alam.

Mohamad memberi jaminan bahawa stok beras negara ketika ini adalah mencukupi untuk tempoh enam bulan dan akan terus ditambah.

“Bekalan ikan sejuk beku juga dijamin cukup untuk lapan bulan akan datang. Jadi tidak perlu pembelian berlebihan.

“Tindakan membeli barangan dalam kuantiti berlebihan hanya akan mencetuskan masalah dan menyukarkan pengguna lain untuk mendapatkan bekalan,” katanya.

Mohamad berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga sentiasa menilai keadaan semasa termasuk melalui kerjasama dengan pihak universiti dan penyelidik seperti pakar perubahan iklim.

Sebagai langkah persediaan awal, beliau berkata Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersama peniaga swasta yang memiliki kemudahan sejuk beku telah diminta menyimpan bekalan, terutamanya ‘ikan rakyat’ iaitu ikan yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan menyasarkan untuk melaksanakan 5,000 program Jualan Agro MADANI di seluruh negara, berbanding 3,400 program yang telah diadakan setakat ini.

Mohamad berkata program yang membolehkan pengguna membeli barangan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih murah bertujuan meringankan beban kos sara hidup, terutamanya di kawasan kampung dan bandar kecil,

“Kita tidak boleh buat program seperti ini setiap hari kerana kedai-kedai runcit setempat juga perlu berniaga. Jadi, kita adakan secara mingguan untuk memberi peluang rakyat berjimat, pada masa yang sama menjaga kelangsungan peniaga tempatan,” katanya.– BERNAMA


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top