Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

“KAMI TAK RAMAI, TAPI KAMI ADA”

DALAM NEGARA

“KAMI TAK RAMAI, TAPI KAMI ADA”

Di sebalik ucapan kemenangan “Kami tak ramai, tapi kami ada” terdapat seribu tawa dan airmata. Tagline itu sangat bermakna kepada kami di bilik Berita AlHijrah.

OLEH: Serieffa Mushtafa Albakry

“It’s a wrap” untuk program Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang menggabungkan pelbagai jabatan demi menjayakan produksi.

KUALA LUMPUR: Di sebalik ucapan kemenangan “Kami tak ramai, tapi kami ada” terdapat seribu tawa dan airmata. Tagline itu sangat bermakna kepada kami di bilik Berita AlHijrah.

Ketika kakitangan lain berpusu-pusu pulang jam enam petang, kami masih memekak, bergaduh, sindir menyindir, mengilai, ketawa dan terbahak- bahak. Tentunya penerbit yang lebih pening kepala melayan perangai anak buah yang dianggap seperti kawan. Debaran bersiaran 8 malam bagaikan di pasar borong, riuh.

Ramadan; “meja wakaf” dipenuhi keluarga Berita AlHijrah untuk berbuka puasa bersama menjamah sedikit makanan sebelum bersiaran langsung pada jam 8 malam.

Setiap hari lebih kurang seorang penerbit, seorang penolong penerbit, satu hingga empat wartawan, seorang pembantu penerbitan, dua pengendali portal bertugas. Namun kami tidak berseorangan di aras dua Pusat Penyiaran TV AlHijrah. Tentunya tim grafik, penyunting visual “sama naik” dengan keriuhan menghasilkan siaran yang terbaik. Hasil kerja jurukamera di lapangan diadun dengan baik bagi memastikan tiada jeritan penerbit ketika siaran berita berlangsung.

Pasti ada yang pernah ke bilik berita kami, kecil dan tidak seperti bilik berita lain. Kami diletakkan bersama pekerja lain. Tentunya ada yang tertekan dengan cara kerja kami yang tidak henti bising. Maaf, kami tidak berniat untuk mengganggu gugat, tetapi itu cara kami bekerja untuk menghilangkan tekanan. Setiausaha kami pun selalu turut serta di “meja wakaf”. Di situlah segala gosip, makan- makan, idea berita dilontarkan.

“Meja wakaf” yang menjadi tempat bermesyuarat tanpa sebarang protokol – santai.

Selain tidak ramai, kami juga muda. Paling tua usia geng Berita AlHijrah adalah 42 tahun. Mungkin itu juga penyumbang kepada berita kami yang berlainan dengan organisasi lain. Idea wartawan dan penerbit muda didengari agar kekal relevan. Dalam masa sama harus mematuhi etika kewartawanan. Kelajuan teknologi juga memaksa golongan separa “kertu” bekerjasama dengan golongan muda celik teknologi maklumat.

Sesi brainstorm buat julung kali pasca COVID-19; masing-masing “buka langkah” untuk menjadikan Berita AlHijrah terus berkualiti.

Ada diantara geng Berita AlHijrah pernah meninggalkan kami, namun tidak lama selepas itu kembali, seperti sireh pulang ke gagang. Kami sambut mereka dengan tugasan lebih mencabar – Padan muka, siapa suruh tinggalkan kami dan “makan air mata” geng sendiri.

Kemenangan salah seorang staf Berita AlHijrah, Zaim Zamani, diraikan dengan retreat oleh staf-staf yang terlibat dalam produksi Berita AlHijrah.

Bilik Berita AlHijrah penuh dengan susuk berjiwa besar dan tokoh muda. Kemahiran mereka bukan sahaja menulis tetapi berhujah antaranya isu antarabangsa, lokal, sukan, agama dan media sosial. Pakar “gajah pun boleh terbang” pun ramai, tetapi sekadar hiburan di “meja wakaf”. Apa yang dibincangkan di “meja wakaf”, kekal di situ. Mungkin selepas ini meja itu perlu ditukar nama kepada meja “Yang Arif”.

Acara setiap tahun; rumah terbuka staf-staf Berita AlHijrah.

Mereka yang masih berjuang di Berita AlHijrah ayuh kita “bising” demi mengekalkan momentum. Bagi yang pernah berjuang bersama-sama, kelibat anda masih berkeliaran di sini – kerana kita tak ramai, tapi kita ada! — AlHijrah Online

Penulis adalah Editor/ Penerbit/ Ketua Unit Berita Alhijrah.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading