
KOTA BHARU: Kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun yang parah dalam kemalangan bersama tiga lagi saudaranya ketika dalam perjalanan ke sekolah di Machang semalam, selamat menjalani pembedahan memotong kaki kanan hingga ke paras paha, di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian, di sini hari ini.
Kakak mangsa Mas Asmah Rosli, 19, berkata pembedahan itu perlu dilakukan segera terhadap adiknya, Mas Siti Rosnani Rosli bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius berlaku.
“Adik bongsu saya selamat jalani pembedahan di HPUSM pada 4 pagi tadi, namun masih belum sedarkan diri dan sekarang sedang ditemani ibu saya Hanita Yusof, 48.
“Selain itu, Mohd Hakikat Ab Rahman, 9, dan Muhammad Muskir Rosli, 14, pula juga dijadual menjalani pembedahan hari ini, di Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai, manakala Mohd Zulhaqif Mohd Zulkifli, 12, masih berada dalam pemantauan rapi pihak hospital,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Dalam kejadian pagi semalam, empat bersaudara yang juga merupakan pelajar di dua buah sekolah di Machang, cedera parah selepas motosikal motosikal jenis Honda C100 yang mereka naiki terlibat dengan kemalangan dengan sebuah kereta jenis Honda Jazz.
Ketua Polis Daerah Machang, Supt Azuhar Md Nor dilapor berkata siasatan awal mendapati, motosikal yang dinaiki kesemua mangsa dari arah Kuala Krai ke Machang itu, telah membelok ke kanan secara tiba-tiba untuk masuk ke simpang di sebelah kanan jalan sebelum melanggar bahagian hadapan kereta yang dipandu oleh seorang guru wanita.
Kenderaan itu kejadian melalui laluan sah dari arah Machang ke Kuala Krai berhampiran SMK Seri Intan.
Bagaimanapun pemandu Honda Jazz itu dan penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.–AlHijrah Online