KUALA LUMPUR: Penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu syarikat Blackrock dalam pelaburan di negara adalah jelas, malah tiada keperluan untuk menjadikan isu penyertaan syarikat asing itu di dalam penstrukturan semula Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sebagai modal politik.
Menurut Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Azizuddin Ahmad, pada masa sama pendirian tegas Malaysia dalam isu Palestin yang konsisten dan berprinsip seharusnya menyatukan semua pihak berkepentingan di negara ini, tanpa kecuali.
“Ketika keadaan semakin gawat di Gaza, Malaysia paling menyerlah dengan bekerja keras melalui saluran diplomasi dan kemanusiaan mencari jalan penyelesaian. Inilah semangat yang seharusnya didokong semua pihak bagi membolehkan Malaysia terus berperanan dengan lebih berkesan.”
“Keadaan genting (sa’atu ‘l-usrah) di Gaza yang berlanjutan sejak Oktober 2023 memerlukan semua pihak terus fokus berganding bahu dalam satu gerakan perjuangan di peringkat global sebagai manifestasi keprihatinan rakyat Malaysia.”
Jelas Azizuddin, sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, Malaysia mengalu-alukan kemasukan para pelabur asing.
Namun realiti sosio-ekonomi-politik dunia kini yang serba kompleks memerlukan pendekatan berhikmah yang tegas dan berprinsip untuk berhadapan dengan mana-mana entiti sama ada di sektor ekonomi mahupun politik.
Keterdesakan untuk mempolitikkan isu penyertaan syarikat asing di dalam penstrukturan semula MAHB hanyalah polemik yang tidak perlu.
“Usaha konsortium Gateway Development Alliance yang diterajui oleh Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memegang 70% pegangan saham, bertujuan memanfaatkan kepakaran secara kolektif bagi menambah baik infrastruktur lapangan terbang negara yang semakin terabai sejak tahun-tahun kebelakangan ini dan kemudiannya memastikan pertumbuhan berterusan yang mampan.”
Katanya, keupayaan MAHB perlu terus dilonjakkan dan dikembalikan agar setara dengan lapangan-lapangan terbang serantau dan antarabangsa.
WADAH, tambah Azizuddin lagi, berharap rakyat dapat terus rasional merenung realiti dan keperluan yang ada dan mendukung komitmen kepimpinan untuk memperkasakan ekonomi rakyat menerusi kerangka pemikiran Malaysia MADANI. –Alhijrah Online