CORONAVIRUS: LAPAN WARGANEGARA CHINA DIKUARANTIN DI SEBUAH HOTEL DI JB
IPOH: Lapan warganegara China yang tiba di Johor Bahru, Johor dari Singapura semalam kini dikuarantinkan di sebuah hotel dengan pemantauan dan kawalan rapi Kementerian Kesihatan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata kesemua mereka adalah rakan seperjalanan seorang lelaki warganegara China berusia 66 tahun dari Wuhan yang tiba di Singapura 20 Jan lalu, sebelum disahkan positif novel coronavirus import.
Dr Lee berkata kesemua lapan individu itu perlu diasingkan sekurang-kurangnya seminggu bagi mengenal pasti sekiranya mempunyai simptom coronavirus.
“Mereka bukan pesakit tetapi mereka dipantau untuk dikuarantin bagi melihat sama ada terdapat simptom atau tidak kerana mereka ada hubungan dengan pesakit yang positif coronavirus. Tetapi buat masa ini, mereka tidak ada (simptom),” katanya dipetik BERNAMA selepas meninjau ketibaaan penerbangan dari Singapura di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Lee berkata pihaknya akan mempertingkatkan penggunaan mesin pengimbas suhu badan bagi mengesan virus coronavirus di semua kawasan lapangan terbang dan pintu masuk negara.
“Kita akan mempertingkatkan peralatan untuk buat saringan suhu badan di semua lapangan terbang dan pintu masuk,” katanya. — AlHijrah Online