HAMAS TIDAK AKAN TERIMA PELAN DAMAI TRUMP

PUTRAJAYA: Pelan damai timur tengah “Perjanjian Abad Ini” (DOC) dicanang Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hanya bertujuan menghapuskan perjuangan rakyat Palestin untuk menuntut kemerdekaan tanah air mereka.

DOC juga akan memastikan penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin akan terkubur.

Ketua HAMAS yang juga bekas Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh menegaskan pergerakan politik Palestin itu tidak akan sesekali menerima perjanjian berat sebelah itu dan mana-mana pihak bersengkokol dengannya.

Katanya, ini kerana DOC hanya bertujuan menghapuskan kewujudan dan identiti Baitulmaqdis Timur, merampas tanah Palestin, khususnya di Tebing Barat, menafikan hak warga Palestin untuk pulang dan menguburkan penyelesaian dua negara.

“Ketika kita sedang bercakap ini, Tebing Barat sebenarnya “dihapuskan” dari segi kewujudan dan identitinya,” katanya dalam sesi dialog khas dengan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis anjuran Persatuan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) di sebuah hotel di sini.

Ismail Haniyeh mengetuai delegasi pemimpin kanan biro politik HAMAS ke Malaysia dalam rangka lawatan ke beberapa negara sejak dilantik menjadi ketua pengerakan politik Palestin yang berpangkalan di wilayah terkepung Gaza itu.

Ismail menyifatkan DOC sebagai kemuncak hubungan antara AS dan sekutunya, Israel, dalam menafikan hak warga Palestin.

“Ini hanya helah politik (political cover) untuk mengambil lebih banyak wilayah Palestin. (Melalui DOC) lebih 40 peratus tanah ini akan dijadikan wilayah Israel. Ketika ini ada 750,000 peneroka haram Israel dan lebih separuh darinya di Tebing Barat.

Semalam media antarabangsa melaporkan Trump mungkin mendedahkan DOC menjelang lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ke negara kuasa besar itu minggu depan.

Rumah Putih berkata Presiden AS mempelawa Netanyahu dan saingan politiknya, Benny Gantz untuk melawat Washington di tengah-tengah laporan mengatakan pelan damai Trump akan diumumkan.

Channel 12 Israel melaporkan DOC akan mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas hampir semua penempatan di Tebing Barat yang diduduki secara haram dan menyalahi undang-undang antarabangsa.

Pelan Trump itu juga dilaporkan hanya akan mengiktiraf negara Palestin yang bebas kemudiannya dan perkara itu ditentang keras pemimpin Palestin.

Ia juga menuntut pelucutan senjata oleh HAMAS dan Palestin mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.


“Kita tidak akan menerima pelan ini,” kata Ismail Haniyeh menegaskan pihaknya akan bekerjasama dengan semua pihak untuk menghalang perjanjian itu daripada berlaku.

Ditanya apa yang boleh dilakukan bagi menangani situasi itu, Ismail Haniyeh berkata umat Islam seharusnya menang dalam “peperangan kesedaran” dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

“Kita kena lobi secara ekstensif untuk menangani naratif Israel berbanding naratif Palestin.


“Institusi kemanusiaan dan undang-undang perlu membawa Israel ke muka pengadilan,” kata pemimpin Palestin itu yang menyambut baik sokongan negara-negara Islam, termasuk Malaysia, yang terus menyokong perjuangan Palestin.

Mengulas pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau berterima kasih atas sokongan berterusan Perdana Menteri dan rakyat Malaysia kepada perjuangan Palestin.

Antara perkara dibincangkan dengan Dr Mahathir ialah hubungan dua hala, situasi politik di Palestin, isu-isu kemanusiaan dan ruang untuk kerjasama di masa akan datang.


Ismail Haniyeh berkata setiap negara Islam, termasuk Malaysia, Qatar, Turki, dan Iran, memberi sokongan dan bantuan mengikut kapasiti masing-masing dari segi politik, ekonomi dan bantuan kemanusiaan.


“Our red line is Israel (musuh kita hanya Israel),” kata pemimpin Palestin itu menegaskan HAMAS akan bekerjasama dengan semua pihak, termasuk Arab Saudi, dalam perjuangan rakyat Palestin. – AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply