
BAITULMUQADDIS: Imam Besar Masjidil Aqsa, Sheikh Ekrima Sabri, memberi amaran berhubung rancangan negara haram Israel untuk menguatkuasakan larangan azan di masjid-masjid di wilayah Palestin yang diduduki.
Dalam kenyataannya pada Isnin , isu azan kembali menjadi perhatian selepas beberapa percubaan sebelum ini untuk mengharamkan atau mengehadkan kelantangannya gagal dilaksanakan.
“Isu azan telah dibangkitkan semula selepas percubaan berulang kali gagal untuk mengharamkannya atau mengurangkan kelantangannya,” katanya.
Katanya, Jawatankuasa Menteri bagi Perundangan di Knesset (Parlimen negara haram Israel) baru-baru ini mengemukakan rang undang-undang yang bertujuan mengehadkan laungan azan di Baitulmuqaddis Timur serta bandar-bandar Arab di dalam Israel.
Pada Ahad, jawatankuasa tersebut meluluskan rang undang-undang berkaitan azan yang dikemukakan oleh parti sayap kanan Otzma Yehudit (Kuasa Yahudi), yang diterajui Menteri Keselamatan negara haram itu, Itamar Ben-Gvir.
Rang undang-undang itu menetapkan bahawa sebarang sistem pembesar suara di masjid tidak boleh dipasang atau digunakan tanpa permit dan permit hanya akan diberikan berdasarkan tahap “bunyi” yang dihasilkan serta jarak masjid dari kawasan perumahan.
Cadangan itu juga memberi kuasa kepada pegawai polis untuk mengarahkan pemberhentian segera azan sekiranya berlaku pelanggaran syarat. Jika pelanggaran berterusan, pembesar suara boleh dirampas dan denda dikenakan.
Bagaimanapun, rang undang-undang tersebut masih memerlukan kelulusan penuh Knesset pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Sheikh Sabri menegaskan bahawa usaha terbaru itu merupakan perkembangan yang lebih berbahaya kerana ia cuba menghalalkan larangan terhadap azan melalui penggubalan undang-undang.
“Kuasa penjajah tidak mempunyai hak untuk mengubah status quo yang sedia ada di wilayah yang diduduki,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak berkuasa Israel “tidak berhak menganggap azan sebagai gangguan atau pencemaran bunyi”.
“Gangguan dan bunyi sebenar datang daripada jentera perang pihak yang melakukan pencerobohan,” tambah beliau.—AlHijrah Online