
JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang wanita tempatan kerana dipercayai mencampak bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkat 10 sebuah rumah pangsa di bandar raya ini dalam kejadian pada 2 Mei lepas.
Pemangku Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan penemuan mayat bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan di kawasan parkir di sebuah flat berkenaan.
Katanya siasatan awal mendapati bayi perempuan tersebut dipercayai jatuh dari tingkat 10 flat berkenaan.
“Polis telah menahan suspek yang berusia 22 tahun di perkarangan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
“Tangkapan dibuat berdasarkan keterangan yang ada terhadap suspek yang telah membuang bayi masih bernyawa dari tingkat 10 sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau selain beberapa keterangan saksi-saksi kejadian juga telah diambil.
Suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru esok di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum dengan penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda,” katanya.—AlHijrah Online