RM10 BILION PERUNTUKAN UNTUK M40 TERJEJAS AKIBAT COVID-19 – PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan peruntukan RM10 bilion bagi membantu kumpulan M40 yang terjejas akibat situasi wabak COVID-19 ketika ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri mengumumkan perkara itu dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan beliau secara langsung di stesen TV tempatan hari ini.

Katanya, bantuan kepada kelompok M40 itu akan disalurkan melalui Bantuan Prihatin Nasional iaitu pemberian tunai secara one-off yang buat pertama kalinya disalurkan bagi meringankan beban kelompok itu.

“Mereka ini termasuk pekerja swasta, peneroka Felda, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah,” kata Perdana Menteri.

Perdana Menteri berkata bayaran tunai one-off itu merangkumi:

  1. RM1,600 kepada hampir empat juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah. Bayaran RM1,000 akan dibayar pada April 2020 dan RM600 pada Mei 2020.         
  2. RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 yang akan dibayar pada April 2020 sebanyak RM500 manakala baki RM500 pada Mei 2020.
  3. RM800 kepada tiga juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah, yang mana bayaran RM500 akan dibayar pada April 2020 dan baki RM300 pada Mei 2020.
  4. RM500 kepada 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000. Bayaran RM250 akan dibuat pada April 2020 dan baki RM250 pada Mei 2020.

— AlHijrah Online

Leave a Reply