COVID-19: UUM TUTUP PENUH KAMPUS SINTOK SELAMA EMPAT HARI

SINTOK: Kampus induk Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah ditutup penuh selama empat hari bermula hari ini hingga 10 Oktober depan.

Keputusan itu dibuat bagi mengekang penularan COVID-19.

Menurut jurucakap UUM, sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) perlu dibuat secara dalam talian.

Sepanjang tempoh itu juga, tiada kakitangan dibenarkan memasuki kampus tersebut kecuali dengan kebenaran pendaftar dan mereka dikehendaki bekerja dari rumah kecuali bagi staf perkhidmatan penting.

Pelajar juga tidak dibenarkan memasuki kampus induk tersebut kecuali dengan kebenaran daripada Timbalan Naib Canselor dan semua pelajar yang telah berada di dalam kampus tidak dibenarkan keluar.

Bagi pelajar yang tinggal secara berkeluarga, hanya ketua keluarga dibenarkan keluar untuk membeli barang keperluan yang tidak dapat diperolehi di dalam kampus dengan kebenaran.

UUM memaklumkan semua pelajar yang berada di Inasis Yayasan Al-Bukhary (YAB) dilarang sama sekali keluar dari kawasan tersebut.

Inasis atau penginapan pelajar itu akan dikawal 24 jam oleh pihak keselamatan universiti.

Menurut kenyataan itu lagi, UUM juga mengambil langkah pencegahan dengan melakukan operasi sanitasi di kawasan terlibat. — AlHijrah Online

Leave a Reply