Connect with us

ALHIJRAH NEWS

DARI PUNCAK KINABALU, MYSALAM SERU RAKYAT TAKLUK ‘GUNUNG’ KEWANGAN

DALAM NEGARA

DARI PUNCAK KINABALU, MYSALAM SERU RAKYAT TAKLUK ‘GUNUNG’ KEWANGAN

Kita tidak membina kestabilan kewangan dalam satu malam. Ia bermula dengan langkah asas seperti belajar mengurus perbelanjaan, mula menyimpan, mengawal hutang dan menyediakan perlindungan untuk menghadapi perkara yang tidak dijangka. Sebab itu mesej utama ekspedisi ini ialah, ‘Setiap rakyat Malaysia ada gunung masing-masing untuk didaki.

KOTA KINABALU: Skim Perlindungan Kesihatan Sosial (mySalam) membawa mesej kepentingan literasi kewangan ke puncak Gunung Kinabalu menerusi ekspedisi khas pada Sabtu dan Ahad, sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pengurusan kewangan yang berhemah.

Sempena ekspedisi itu, mySalam yang diuruskan oleh Great Eastern Takaful Berhad turut menganjurkan podcast bertajuk ‘Menawan Puncak Ketahanan Kewangan’.

Ketua Skim mySalam, Syuhaib Ithnin berkata, mendaki gunung mempunyai persamaan dengan perjalanan kewangan kerana kedua-duanya memerlukan persediaan, ilmu dan disiplin.

“Tiada siapa sampai ke puncak Gunung Kinabalu dengan satu langkah besar. Semuanya bermula dengan langkah kecil. Satu demi satu, dengan persediaan, ilmu dan disiplin.

“Begitu juga perjalanan kewangan. Kita tidak membina kestabilan kewangan dalam satu malam. Ia bermula dengan langkah asas seperti belajar mengurus perbelanjaan, mula menyimpan, mengawal hutang dan menyediakan perlindungan untuk menghadapi perkara yang tidak dijangka. Sebab itu mesej utama ekspedisi ini ialah, ‘Setiap rakyat Malaysia ada gunung masing-masing untuk didaki.'”

Beliau berkata, pendekatan podcast dipilih bagi mendekati masyarakat, khususnya golongan muda, menerusi platform yang lebih santai dan mudah difahami kerana pendidikan kewangan tidak lagi boleh bergantung kepada ceramah atau seminar semata-mata.

Sebaliknya, usaha itu perlu dibawa ke platform yang menjadi pilihan masyarakat bagi memastikan mesej #BijakWang dapat disampaikan kepada setiap lapisan rakyat di seluruh negara.

Podcast berkenaan dikendalikan oleh Syuhaib selaku moderator dan dijayakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Radzuan Mohamed, usahawan serta Pengasas Pejuang Hartanah, Datuk Ahyat Ishak dan porter Gunung Kinabalu, Jvy Mius.

Program itu turut menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘Podcast Literasi Kewangan di Altitud Tertinggi’.

“Podcast ini akan ditayangkan secara ‘bit-sized’ melalui platform media sosial mySalam secara berperingkat untuk tatapan umum,” katanya.

Menurutnya, mySalam akan meneruskan usaha memperkukuh literasi kewangan menerusi National Bijak Wang Challenge sempena Bulan Literasi Kewangan pada Oktober ini yang menyasarkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT). — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading