DERA BAYI SEHINGGA MATI, SEMBILAN DITAHAN POLIS

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan sembilan individu bagi membantu siasatan berhubung kes seorang bayi lelaki berusia 12 bulan dipercayai didera sehingga mati.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Tan Cheng San berkata, polis menerima maklumat daripada Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada jam 7 malam kelmarin yang memaklumkan mereka menerima pesakit yang mempunyai kesan dera.
Katanya, sewaktu dilaporkan, kanak-kanak warga tempatan itu tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
“Hasil siasatan mangsa telah dibawa ke hospital oleh seorang lelaki yang tidak dikenali berusia lingkungan 30-an.
“Lelaki itu yang juga suspek mengatakan si mati pengsan dan memerlukan rawatan sebelum beredar meninggalkan kawasan hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, Cheng San berkata polis menjejaki suspek sebelum menahan sembilan lagi individu di sekitar Seberang Perai, semalam.
“Mereka terdiri daripada empat lelaki dan lima wanita warga tempatan berusia 16 hingga 48 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes ini.
“Seorang daripada sembilan suspek yang ditahan mempunyai lima rekod jenayah dalam pelbagai kesalahan,” katanya.
Ujarnya, kesemua yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bagi tujuan reman.—AlHijrah Online