MAKKAH: Dua lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah melibatkan lelaki dari Perak dan wanita dari Sabah.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan memaklumkan jemaah lelaki berusia 64 tahun dari Parit Buntar, Perak itu meninggal dunia di Hospital King Faisal pada 8.29 malam 19 Mei, akibat asma yang teruk.
TH memaklumkan Allahyarham hadir bersama isterinya ke Tanah Suci dan merupakan jemaah yang dibawa oleh Syarikat Pengelola Jemaah Haji daripada kumpulan KT79 serta menginap di Al Safwah Hotel.
Sementara itu, jemaah wanita berusia 66 tahun dari Tawau, Sabah meninggal dunia di Hospital Saudi German pada 10.50 pagi, 20 Mei akibat serangan jantung.
“Allahyarhamah hadir bersama suaminya ke Tanah Suci dan merupakan jemaah daripada kumpulan KT82 yang menginap di Hotel Abraj Al-Tayseer,” menurut kenyataan itu.
TH berkata kedua-dua jenazah dibawa ke Masjidil Haram untuk disolatkan selepas selesai proses dokumentasi sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea di sini.
Setakat ini, seramai lapan jemaah haji Malaysia dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci bagi musim haji 1447H/2026M.–BERNAMA