
Kuala Kangsar: Sebuah kilang memproses makanan didenda RM21,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan menggunakan logo halal tidak sah, tahun lalu.
Hakim Nuur Hafiedzah Md Daus menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Pengarah Syarikat Mee Hiong Yuen Groundnut Factory Sdn. Bhd., Wong Hoong Kit, 64 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Berdasarkan pertuduhan, kilang terbabit didakwa memperakukan 646 paket dan 15 tin kacang tanah serta kacang rebus sebagai halal dengan cara bertentangan mengikut Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, yang menjadi kesalahan mengikut Perenggan 8(a) perintah sama.
Kesalahan itu dilakukan pada 3 November 2025, jam 11 pagi di Mee Hiong Yuen Groundnut Factory Sdn. Bhd. di Jalan Besar, Sungai Siput.
Hasil pemeriksaan pegawai penguatkuasa KPDNHEP bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) mendapati sejumlah produk makanan yang dijual menggunakan logo halal, namun semakan terhadap perihal halal bagi produk tersebut adalah tidak sah.
Nuur Hafiedzah ketika membacakan hukuman turut memberi peringatan kepada Hoong Kit agar tidak mengambil mudah isu pensijilan halal.—Alhijrah Online