
SUNGAI PETANI: Dua lelaki yang ditahan berkaitan insiden letupan tong gas helium di tapak ekspo dekat Dataran Jam Besar di sini, semalam, direman bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Nur Hamizah Mat Shah di Mahkamah Sungai Petani, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata lelaki berusia 38 tahun direman selama empat hari, sementara seorang lagi lelaki berusia 18 tahun direman sehari.
“Mereka (kedua-dua individu) dipercayai sedang membancuh bahan kimia (sebelum kejadian),” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Beliau berkata semakan awal mendapati kedua-dua lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau, dan polis sedang menunggu keputusan ujian air kencing.
Kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.
Semalam, media melaporkan seorang peniaga minuman, Azmi Ahmad, 42, maut akibat kecederaan parah di tangan kanan dan dada sebelah kanan selepas dipercayai terkena serpihan tong gas helium yang meletup dalam kejadian kira-kira 7.53 malam.
Insiden terbabit turut menyebabkan tiga lagi lelaki berusia 15, 36 dan 49 tahun mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan.
Difahamkan, tong gas helium berkenaan digunakan untuk mengisi belon kanak-kanak yang dijual di tapak ekspo berkenaan.–Alhijrah Online