Connect with us

ALHIJRAH NEWS

DUA RAKYAT MALAYSIA CEDERA LETUPAN DI SELATAN THAILAND SELAMAT PULANG

DUNIA

DUA RAKYAT MALAYSIA CEDERA LETUPAN DI SELATAN THAILAND SELAMAT PULANG

Wisma Putra turut menasihati rakyat Malaysia yang menetap atau melawat wilayah selatan Thailand supaya terus berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi semua arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

BANGKOK: Dua rakyat Malaysia yang cedera dalam letupan bom buatan sendiri (IED) di wilayah Narathiwat, selatan Thailand pada Isnin telah selamat pulang ke tanah air, menurut Kementerian Luar.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan kedua-dua mangsa dibenarkan keluar dari Hospital Naradhiwas Rajanagarindra dengan bantuan pihak berkuasa tempatan di Narathiwat sebelum diiringi ke persimpangan sempadan Sungai Golok-Rantau Panjang.

Menurut kementerian itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla turut menyelaras dengan pihak berkuasa berkaitan di Rantau Panjang bagi memudahkan urusan imigresen di sempadan Malaysia-Thailand.

“Setelah selesai proses pelepasan, kedua-dua mangsa dibawa dengan ambulans ke hospital di Kelantan untuk rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Thailand dan pihak berkuasa tempatan di Narathiwat atas bantuan serta kerjasama dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia terbabit.

Kementerian itu memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan kes berkenaan menerusi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Wisma Putra turut menasihati rakyat Malaysia yang menetap atau melawat wilayah selatan Thailand supaya terus berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi semua arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Pada Isnin, kedua-dua rakyat Malaysia itu menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) apabila IED yang disembunyikan di dalam pembetung jalan meletup berhampiran persimpangan Sapom di daerah Tak Bai kira-kira 11.40 pagi waktu tempatan.

Pihak berkuasa Thailand berkata rakyat Malaysia bukan sasaran serangan itu yang dipercayai dilakukan oleh suspek pemberontak.

Pasukan keselamatan Thailand telah melancarkan siasatan selepas kerja-kerja pelupusan bahan letupan dijalankan dan pegawai forensik memeriksa lokasi kejadian. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading