KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Malaysia yang menetap di Perth, Australia berkongsi pengalamannya semasa berada di Tanah Suci selepas selesai menunaikan rukun Islam yang kelima iaitu haji baru-baru ini.
Katanya, ada satu kejadian dia terlupa untuk memakai lanyard haji yang dipercayai Kad Nusuk semasa dalam perjalanan ke Masjidil Haram, Makkah.
Kemudian beliau melalui pusat pemeriksaan polis sebelum pegawai tersebut bertanya “Di mana tag awak?”, lantas beliau mencari di dalam begnya.
“Sebelum saya sempat menariknya, dia bertanya satu perkara: “Malaysia?” Saya kata ya. “Malaysia, silakan.”
“Itu sahaja. Dia tidak perlu melihat tag itu. Nama itu sudah cukup. Kepercayaan itu bukannya nasib,” katanya dalam hantaran di Instagram.
Ujarnya, walaupun beliau menunaikan haji menerusi pihak berkuasa Australia, nama “Malaysia” itu sendiri sudah cukup membuktikan bahawa Arab Saudi menghormati seluruh jemaah dari salah sebuah negara Asia tersebut.
Untuk rekod, Malaysia menerusi Tabung Haji telah memperoleh Anugerah Labbaitom untuk tahun kelima berturut-turut, dan bukan itu sahaja, Malaysia turut diberi penghormatan Diamond Award untuk tahun kedua.
“Pengurusan haji terbaik dunia, diiktiraf oleh Arab Saudi sendiri. Tetapi reputasi itu tidak dibina oleh anugerah. Ia dibina oleh setiap jemaah haji Malaysia yang mendahului saya yang berdisiplin, menghormati, melakukan perkara betul yang secara senyap-senyap mendapat kepercayaan hingga membolehkan satu perkataan membuka pintu.
“Jadi ke mana sahaja kita pergi, mari kita lindungi penghormatan itu. Nama itu membawa berat dalam dunia Islam kerana beribu-ribu memperolehnya sebelum kita. Terpulang kepada kita untuk mengekalkannya. Alhamdulillah,” katanya.–AlHijrah Online