Connect with us

ALHIJRAH NEWS

FOTO TERKINI WARTAWAN PALESTIN DEDAH SISI KEJAM PENJARA ISRAEL

DUNIA

FOTO TERKINI WARTAWAN PALESTIN DEDAH SISI KEJAM PENJARA ISRAEL

Mujahid Bani Mufleh mengalami pendarahan otak yang teruk hanya dua hari selepas dibebaskan dan telah dipindahkan ke hospital dalam keadaan kritikal. Sehingga kini beliau masih memerlukan rawatan panjang dan kompleks untuk pulih.

RAMALLAH: Sebuah kumpulan advokasi tahanan Palestin pada Rabu menyifatkan keadaan penjara Israel sebagai “kejam” susulan penyebaran foto mengejutkan wartawan Palestin, Mujahid Bani Mufleh, selepas enam bulan dalam tahanan.

Persatuan Tahanan Palestin dalam satu kenyataan berkata, penjara Israel kini bertukar menjadi “alat pembunuhan perlahan-lahan dan langsung terhadap tahanan Palestin”.

Bani Mufleh memuat naik gambarnya pada Rabu selepas menjalani rawatan panjang akibat penyakit yang dihidapinya ketika ditahan oleh Israel.

Foto berkenaan menunjukkan sebahagian tempurung kepalanya telah dibuang akibat beberapa pembedahan yang dijalaninya semasa dalam tahanan.

Wartawan itu turut mengalami kehilangan berat badan yang ketara serta kelihatan sangat pucat dan hampir tidak dikenali.

“Bani Mufleh bukan kes terpencil, tetapi mencerminkan ribuan kes pelanggaran sistematik dalam penjara Israel termasuk penyeksaan, kebuluran, penafian rawatan, serangan fizikal dan psikologi, serta intimidasi berterusan,” kata persatuan itu.

Menurutnya lagi, kumpulan hak asasi dan hal ehwal tahanan sedang memantau ratusan Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel dalam keadaan kesihatan fizikal dan mental yang serius, manakala banyak kes lain tidak dilaporkan kerana keluarga takut terhadap kemungkinan penahanan semula.

Kumpulan itu berkata Bani Mufleh dari Beita, Nablus ditahan oleh pasukan Israel pada Jun 2025 tanpa pertuduhan di bawah dasar tahanan pentadbiran sebelum dibebaskan pada Januari 2026.

“Bani Mufleh mengalami pendarahan otak yang teruk hanya dua hari selepas dibebaskan dan telah dipindahkan ke hospital dalam keadaan kritikal.

“Sehingga kini beliau masih memerlukan rawatan panjang dan kompleks untuk pulih,” tambahnya.

Persatuan itu turut mendakwa Israel meningkatkan tindakan terhadap wartawan Palestin sejak perang Gaza, dengan 245 wartawan ditahan sejak Oktober 2023.

Sejak 8 Oktober 2023, peningkatan ketenteraan Israel dan tindakan peneroka di Tebing Barat telah mengorbankan 1,173 rakyat Palestin, mencederakan 12,666 orang, menahan kira-kira 23,000 individu serta menyebabkan 33,000 orang kehilangan tempat tinggal, menurut data rasmi Palestin. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading