Dulu hilang ayah, kini kudung kaki

Muhammed bernasib baik kerana diberikan rawatan dan kini mendapat perlindungan di rumah anak yatim di Reyhanli, Turki. FOTO DAILY SABAH

DUA tahun selepas bapanya terbunuh akibat serangan udara yang dilancarkan regim Bashar al Assad, Muhammed Lamot hampir menerima nasib yang sama. Tetapi ajalnya belum tiba. Dia terselamat tetapi fizikalnya tidak lagi sama. Kedua-dua kakinya kudung akibat bom yang digugurkkan di barat daya Idlib.

Muhammed masih bernasib baik kerana masih mempunyai ibu. Tetapi serangan berterusan sejak April lalu memaksa keluarganya mencari perlindungan ke tempat lain yang lebih selamat. Selagi berada di Idlib, tiada tempat yang terkecuali dari serangan tentera regim melainkan menyeberang sempadan ke negara jiran.

Keadaannya yang cedera dengan status anak yatim, mendapat perhatian pihak berkuasa Turki untuk mendapat perlindungan di Reyhanli. Dia diberikan rawatan dan perlindungan di rumah anak yatim.

Penderitaannya mendapat perhatian pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Humanitarian Relief Foundation (IHH), the Economic Cooperation Organization (ECO) dan Alliance of International Doctors (AID) yang berusaha membantunya untuk kembali pulih meskipun tidak lagi normal seperti kanak-kanak lain.

Dorongan dan perangsang memberi semangat kepada Muhammed yang kini berusia lapan tahun. Sumbangan kaki palsu baginya begitu bermakna. Dia kini berada di Reyhanli, Turki dan ditempatkan di sebuah rumah anak yatim di situ. Selain mendapat rawatan, Muhammed beransur-ansur pulih dan kini bersemangat untuk kembali berjalan dengan kaki palsu.

“Saya amat teruja dapat bermain dengan kawan-kawan. Saya merasa bebas kerana dapat pergi ke sekolah dan lakukan semua benda dengan sendiri,” kata Muhammed.

Di sebalik kegirangan menerima kaki palsu dan mula belajar berjalan semula, perjalanan hidupnya masih panjang.

Dalam keadaan yang cacat dan menumpang di negara orang, ia bukan mudah untuk ditempuhi di hari-hari mendatang.

Ramai lagi kanak-kanak Syria yang senasib dengan Muhammed tetapi masih terbiar dan terlepas pandang.

Sebenarnya dalam keadaan yang aman makmur, kita kini sedang diuji. Sebesar manakah rasa kemanusiaan yang bertapak dalam diri kita akan derita sahabat seagama kita. Sejauh mana pertolongan kita kepada mereka?

*Artikel Daily Sabah olahan semula oleh Razali Awang (Media Syria Care).

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply