
SEPANG: Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan negara selama dua hari atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Ketibaan El-Sisi bersama delegasinya dengan menaiki pesawat khas disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 6.30 petang.
El-Sisi kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Sambutan ketibaan turut diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh kumpulan seni Istana Budaya yang mengetengahkan keunikan warisan masyarakat berbilang kaum di Malaysia menerusi tarian tradisional dan paluan alat muzik.
Lawatan itu merupakan lawatan negara pertama El-Sisi ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan Presiden Mesir pada Jun 2014.
Esok, beliau akan diberikan Majlis Sambutan Negara sebelum menghadiri Majlis Menghadap Sultan Ibrahim di Istana Negara.
El-Sisi juga dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala bersama Anwar bagi menilai kemajuan kerjasama antara kedua-dua negara selain bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin kemudiannya akan menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Mesir sebelum menghadiri Majlis Minum Petang Rasmi anjuran Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana.
Pada 2025, Mesir merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia dalam kalangan negara Afrika dengan jumlah dagangan kedua-dua negara bernilai RM3.08 bilion.
Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke Mesir bernilai RM2.55 bilion manakala import dari Mesir berjumlah RM530 juta.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, jumlah dagangan antara kedua-dua negara meningkat 74.7 peratus kepada RM3.49 bilion. — AlHijrah Online