EMPAT REMAJA SELAMAT, DUA DIKHUATIRI LEMAS MANDI SUNGAI

PENAMPANG: Empat remaja terselamat manakala dua lagi dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di sungai berhampiran Kampung Pogunon, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang, empat remaja lelaki berusia 17 tahun terbabit dikenali sebagai Jeremiah Maxwell, Constant Felix, Jameson Johnwai dan Bryan Lee berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat.

Sementara dua lagi rakan mereka Harold Walter dan Tomansi Olaf yang dilaporkan hanyut, masih belum ditemukan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan sepasukan anggota bomba digegaskan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di sekitar kawasan mangsa dilaporkan hanyut. Operasi SAR dijalankan dengan kaedah surface rescue. Empat mangsa terperangkap di sungai telah berjaya diselamatkan dan mereka tidak mengalami kecederaan. 

“Operasi menyelamat dua lagi mangsa hanyut diteruskan pada 6.25 pagi tadi bersama penduduk kampung,” menurut kenyataan itu hari ini.

Operasi SAR turut dibantu anggota polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Sementara itu, JBPM Sabah dalam kenyataan terkini memaklumkan, mayat Walter ditemukan orang awam di kawasan Kampung Pagansakan di sini pada pukul 2.45 petang tadi.

“Mangsa ditemukan di tepi sungai kira-kira 3 kilometer dari jarak lokasi asal mangsa dilaporkan lemas.

“Pencarian seorang lagi mangsa (Olaf) masih dijalankan hari ini di sepanjang kawasan sungai dengan kaedah pencarian permukaan air dan menggunakan bot,” kata kenyataan itu.–AlHijrah Online

Leave a Reply