EMPAT SEKELUARGA DIKHUATIRI HILANG, GAGAL DIHUBUNGI KETIKA BERCUTI DI PULAU PERHENTIAN

Tangkap layar gambar mangsa yang hilang.

BESUT: Empat sekeluarga dilaporkan hilang selepas gagal dihubungi ketika mereka bercuti di Pulau Perhentian, di sini pada hujung minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad  berkata mangsa yang hilang telah pergi ke Pulau Perhentian pada 29 September lalu dan telah mendaftar keluar dari penginapan pada Ahad.

Katanya siasatan juga mendapati kesemua mangsa mengikuti aktiviti snorkeling pada 29 dan 30 September lalu.

Mangsa dikatakan akan ke Batu Buruk, Kuala Terengganu setelah keluar dari pulau itu.

Kesemua mangsa menaiki kenderaan jenis Proton Saga BLM berwarna biru muda dengan nombor pendaftaran JRW6380.

Katanya sehingga kini kesemua mangsa masih gagal dikesan serta dihubungi dan siasatan masih diteruskan untuk mengesan mereka.

Jelasnya semakan kamera litar tertutup (CCTV) juga mendapati kenderaan yang dinaiki mangsa dikesan telah bergerak keluar dari Pekan Kuala Besut menuju ke arah Jambatan Seberang Kastam pada jam 10.06 pagi Ahad lalu.

Rozak berkata, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh menyampaikan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Nur Izzati Arina di talian 017-3792157 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Besut 09-6956222 atau balai polis terdekat.

Terdahulu tular di media sosial hantaran seorang lelaki mendakwa ibu mertua, adik ipar dan dua orang anaknya gagal dihubungi ketika bercuti di Pulau Perhentian  pada hujung minggu lalu.

Turut tular gambar empat sekeluarga itu, kenderaan dinaiki dan rakaman CCTV menunjukkan kereta dinaiki mangsa ketika berada di Pekan Kuala Besut. — AlHijrah Online

Leave a Reply