HORMATI PROSES MAHKAMAH KES PERBICARAAN INDIVIDU DIKENALI

Gambar Fail. — Bernama

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan untuk menghormati proses mahkamah berhubung perbicaraan kes gangguan seksual melibatkan insan yang dikenali.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, kes tersebut sedang dibicarakan dan pihak berkuasa perlu diberi ruang untuk melaksanakan tugasnya.

Tambahnya seseorang juga tidak bersalah selagi tidak dijatuhkan hukuman.

Belum juga menegaskan tidak akan mengulas kes tersebut sehingga menimbulkan rasa kurang senang terhadap mana-mana pihak dan imej agama.

“Kita perlu memegang akhlak dan ilmu ajaran agama terutama sekali kepada para pendakwah dan ikon-ikon besar yang diikuti orang ramai.

“Seluruh rakyat juga diseru untuk tidak menangguk air yang keruh sehingga tanpa sedar memberi mesej buruk terhadap nilai agama dan ramai lagi para agamawan yang berusaha membawa mesej agama kepada masyarakat dengan ikhlas dan bersungguh,” katanya.

Bagaimanapun beliau menegaskan perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang adalah tidak dipersetujui apatah lagi perlakuan yang menceroboh kehormatan diri.

Jenayah tersebut perlu dilaporkan dan individu bersalah perlu dibawa ke muka pengadilan serta menerima hukuman sewajarnya jika bersalah tanpa mengira siapa pelakunya.

“Biarlah kebenaran itu dibawa mengikut saluran yang tepat dan kita terus menjadi rakyat dan umat Islam yang bertanggungjawab dalam apa jua situasi agar Allah SWT menilai yang terbaik terhadap usaha kita sebagai seorang muslim,” katanya.

Dalam pada itu ibu bapa, pendidik, pemimpin, badan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak perlu bersatu hati untuk turun padang memberikan kempen kesedaran kepada masyarakat mengenai jenayah seksual. – AlHijrah Online

Leave a Reply