I-CITRA DIPERKENALKAN, MORATORIUM TANPA SYARAT SELAMA ENAM BULAN

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan kemudahan itu berkata, menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli.

“Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan 30 bilion ringgit kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.

“Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021,” katanya dalam Perutusan Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) hari ini.

Image

Dalam perutusan khas tersebut, Muhyiddin turut mengumumkan moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.

“Tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.

“Anda Cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik,” katanya.

Image

Tambahnya moratorium bank juga diberikan kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas dan permohanan akan dibuka pada 7 Julai 2021. — AlHijrah Online

Leave a Reply