INDIA: TRAKTOR TERBALIK, SEKURANG-KURANGNYA 26 MAUT

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 26 orang, termasuk kanak-kanak dan wanita, terbunuh apabila sebuah trolly tractor terbalik dan terjunam ke dalam kolam di Uttar Pradesh, utara India, lapor Agensi Anadolu memetik pegawai pada Sabtu.

Pegawai pentadbiran daerah Vishak G Iye berkata nahas berlaku di daerah Kanpur Nagar lewat Sabtu apabila traktor yang menarik troli dinaiki mangsa terbalik dan terjunam ke dalam kolam.

Beliau berkata kenderaan yang membawa penumpang itu dalam perjalanan pulang dari sebuah kuil dan mangsa yang cedera sedang dirawat di hospital. 

Sementara itu Ketua Menteri Uttar Pradesh Yogi Adityanath berkata pegawai kanan telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk misi bantuan dan menyelamat.

Perdana Menteri Narendra Modi turut dukacita dengan nahas itu, menurut pejabat perdana menteri.

“Takziah kepada semua yang kehilangan orang tersayang. Doa saya bersama mereka yang cedera. Pentadbiran tempatan menyediakan semua bantuan sewajarnya kepada mereka yang terjejas,” kata Modi.

Kerajaan turut mengumumkan pemberian pampasan kepada waris mangsa yang meninggal dunia dan cedera.–AlHijrah Online

Leave a Reply