ISLAMOFOBIA TIDAK BERMULA DARI NEW ZEALAND.


Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Luar New Zealand, Winston Peters (kiri).

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Luar New Zealand, Winston Peters menegaskan Islamofobia tidak bermula dari New Zealand dan sebarang bentuk serangan ke atas seorang penduduk New Zealand adalah ibarat serangan terhadap New Zealand secara keseluruhan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen tengah hari tadi dan memulakan ucapannya dengan “Assalamualaikum”.

Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia dan barisan kepimpinan negara atas sokongan yang ditunjukkan selepas insiden serangan dalam dua masjid di Christchurch 15 Mac lalu.

Beliau dalam lawatan kerja selama dua hari bermula 26 Mac.

Datuk Seri Dr. Wan Azizah dalam pertemuan itu turut menyampaikan takziah kepada Peters mewakili kerajaan dan rakyat Malaysia dan mengucapkan terima kasih atas bantuan yang dihulurkan kepada rakyat Malaysia yang terjejas dalam insiden itu.

Beliau berkata, dalam pertemua mereka, kedua-dua negara akan terus bekerjasama untuk menguarkan kerjasama dua hala dalam aspek pendidikan, pelancongan dan pelaburan.

Dalam kejadian itu, 50 mangsa disahkan terkorban dan setakat ini, empat mangsa masih dalam keadaan kritikal, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, lapor akhbar tempatan Stuff.

Alen Daraghmih dan bapa, Wasseim Alsati antara mangsa serangan pengganas di Chirstchurch – Foto sumber Stuff.co.nz

Alen Daraghmih, 4 tahun terkena dua tembakan dan salah satunya mengenai pinggang dan ibu jari kaki kanan dan memerlukan beberapa siri pembedahan untuk merawat pinggang serta pinggulnya.

Selain itu, tiga mangsa lagi dalam keadaan kritikal berasal dari Turki, Pakistan dan Bangladesh.

Leave a Reply