JAGA AURAT ITU WAJIB – USTAZ DON DANIYAL
KUALA LUMPUR – Pendakwah Don Daniyal Don Biyajid menegaskan bahawa menjaga aurat bagi orang Islam adalah wajib tidak kira sama ada bekerja sebagai kakitangan awam atau swasta.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Kementerian Sumber Manusia menggubal garis panduan etika berpakaian bagi kakitangan Islam di sektor swasta.

Bagaimanapun kata Don Daniyal, kerajaan wajar memberikam masa yang cukup kepada majikan dan pekerja sebelum pelaksanaan etika berpakaian ini dikuatkuasakan.
“Dalam bab berpakaian untuk orang Islam, ia bukan soal pendapat tetapi hukum Allah. Aurat mesti ditutup, tidak kira sama ada bagi swasta mahupun pejabat kerajaan, ” tegas Don Daniyal lagi.
Jelasnya, sekiranya kerajaan berhasrat melaksanakan garis panduan itu, pendedahan perlu difokuskan terlebih dahulu kepada semua pihak yang terlibat.

“Beri ruang dan masa mencukupi untuk masyarakat benar-benar faham akan keperluannya,” jelas beliau ketika ditemui wartawan selepas rancangan bual bicara Pink Point di Pusat Penyiaran Digital TV Alhijrah, hari ini.
Tambahnya, pelaksanaan etika itu perlu sokongan menyeluruh dari pelbagai pihak meliputi agensi terlibat, majikan dan pekerja, termasuk sokongan luar untuk meuar-uarkan perkara itu.
Terdahulu, Kementerian Sumber Manusia membuat kenyataan media berhubung penggubalan garis panduan etika berpakaian pekerja muslim di sektor swasta yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) bulan hadapan.
Kenyataan media Kementerian Sumber Manusia pada 29 Januari 2019
Bagaimanapun garis panduan yang bertujuan menangani isu diskriminasi di tempat kerja dan kini dalam peringkat draf akhir itu hanya terpakai kepada pekerja beragama Islam di sektor swasta dan tidak tertakluk kepada pekerja bukan Islam.
Ini ekoran daripada 13 laporan sebelum ini berhubung hotel di Semenanjung Malaysia yang melarang pekerja wanita bertudung, khususnya pekerja “frontline” atau barisan hadapan yang berkhidmat untuk tetamu.