JAKIM NASIHAT PENGGEMAR MARSHMALLOW PASTIKAN PRODUK DIBELI ADA LOGO HALAL

KUALA LUMPUR: Marshmallow antara produk yang mengandungi gelatin dan banyak dijual secara terbuka serta diimport tanpa diketahui status halalnya.

Jesteru, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menasihatkan penggemar marshmallow untuk memastikan produk makanan itu mempunyai status halal yang sah.

“Oleh kerana gelatin adalah bahan ramuan kritikal yang boleh terhasil daripada sumber tidak halal seperti haiwan maka sebagai umat Islam kita mestilah berhati-hati sebelum membeli atau makan produk-produk yang tidak dapat dikenalpasti status halalnya.

“Justeru itu, bagi penggemar marshmallow, pastikan produk yang ingin dibeli mempunyai logo halal Malaysia atau logo dari badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM,” kongsi jabatan itu dalam satu hantaran di Facebook.

Orang ramai yang mempunyai kemusykilan mengenai status halal produk yang berada di pasaran dan juga premis makanan, bolehlah disemak di www.halal.gov.my/v4 atau direktori Halal Malaysia di aplikasi telefon pintar Verify Halal atau Smart Halal.

Baru-baru ini media melaporkan berkaitan penghasilan marshmallow yang dijual di pasaran adalah bersumberkan daripada gelatin haiwan.

Maklumat itu hasil penyelidikan yang dijalankan Timbalan Pengerusi Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Sahilah Abdul Mutalib. — AlHijrah Online 

Leave a Reply