Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

JANGAN EKSTREM DALAM BERSOLIDARITI UNTUK PALESTIN – MOHD NA’IM

DALAM NEGARA

JANGAN EKSTREM DALAM BERSOLIDARITI UNTUK PALESTIN – MOHD NA’IM

Semua pihak perlu menjaga keharmonian dan perpaduan dalam bermasyarakat untuk mengelak serta tidak mengundang keresahan awam.

KUALA LUMPUR: Rakyat diseru untuk tidak bertindak ekstrem sehingga mengaibkan mana-mana pihak dalam bersolidariti untuk rakyat Palestin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Menurutnya, semua pihak perlu menjaga keharmonian dan perpaduan dalam bermasyarakat untuk mengelak serta tidak mengundang keresahan awam.

Katanya, larangan mencemuh dan tegahan memberikan gelaran buruk kepada seseorang termaktub dalam Surah al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim,” Surah al-Hujurat ayat 11.

Mohd Na’im mengulas tindakan tular beberapa pihak yang mengganggu pelanggan yang menunggu giliran semasa membeli makanan secara pandu lalu di restoran rangkaian makanan segera serta suntingan gambar anjing yang sedang makan di restoran itu.

Mengulas lanjut, rakyat Malaysia khususnya orang Islam perlu bersolidariti untuk rakyat Palestin dalam pelbagai bentuk, berdasarkan dengan asas ilmu serta akhlak.

“Semua daripada kita memahami bahawa kekejaman melampaui sifat kemanusiaan rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin sejak Oktober tahun lalu adalah tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.

Mohd Na’im turut mengingatkan semua pihak untuk sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri bagi mendapatkan penjelasan berlandaskan kefahaman Islam yang sebenar.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading