Connect with us

ALHIJRAH NEWS

ANGKASAWAN ARTEMIS 2 MEMASUKI ZON GRAVITI BULAN

DUNIA

ANGKASAWAN ARTEMIS 2 MEMASUKI ZON GRAVITI BULAN

Empat angkasawan yang menyertai misi Artemis 2 telah memasuki zon graviti bulan, iaitu titik apabila tarikan graviti bulan ke atas kapal angkasa Orion menjadi lebih kuat berbanding tarikan graviti Bumi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik NASA pada Isnin.

CAPE CANAVERAL: Empat angkasawan yang menyertai misi Artemis 2 telah memasuki zon graviti bulan, iaitu titik apabila tarikan graviti bulan ke atas kapal angkasa Orion menjadi lebih kuat berbanding tarikan graviti Bumi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik NASA pada Isnin.

Kru terbabit terdiri daripada angkasawan Amerika Syarikat (AS) Victor Glover, Christina Koch dan Reid Wiseman, serta angkasawan Kanada Jeremy Hansen, yang kini menjadi manusia pertama dalam tempoh lebih 50 tahun melakukan perjalanan ke bulan.

Misi itu merupakan penerbangan ke angkasa yang kedua bagi Glover, Koch dan Wiseman, manakala Hansen pula kali pertama.

Mereka berlepas pada petang Rabu dengan menaiki kapsul Orion yang dilancarkan oleh roket Space Launch System dari pusat pelancaran Cape Canaveral di Florida, AS. Kira-kira 24 jam kemudian, mereka meninggalkan orbit Bumi menerusi manuver khas.

Artemis 2 dibina berasaskan pengalaman misi Artemis 1 tanpa kru pada 2022, dengan laluan penerbangannya secara keseluruhan menyerupai bentuk angka lapan mengelilingi Bumi dan bulan.

Kru terbabit kini dijadual mengelilingi bulan sebelum kembali ke Bumi dan mendarat di laut pada Jumaat.

Dalam beberapa jam akan datang, kapal angkasa itu dijangka berada pada kedudukan paling hampir dengan bulan, iaitu kira-kira 7,500 kilometer melepasi bahagian jauh bulan.

Para angkasawan akan berpeluang melihat Bumi dan bulan pada masa yang sama, selain menyaksikan gerhana matahari apabila matahari terlindung di sebalik bulan dari perspektif Orion.

Mereka juga berkemungkinan mencatat perjalanan paling jauh dari Bumi yang pernah dicapai manusia.

Rekod semasa dipegang oleh kru misi Apollo 13 pada 1970, iaitu pada jarak kira-kira 400,171 kilometer. – BERNAMA-dpa


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading