JANGAN HERET RAJA DALAM PERBINCANGAN POLITIK – PM ANWAR

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama timbalannya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua, kiri) beramah mesra bersama tetamu pada Majlis Perasmian Sentuhan Kasih Desa Selangor di Stadium Mini Sungai Besar hari ini. –fotoBERNAMA

SUNGAI BESAR: Ahli politik tidak seharusnya mengheret institusi diraja termasuk Yang di-Pertuan Agong dalam perbincangan politik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ini kerana kedudukan dan martabat Raja-raja Melayu berbeza dengan rakyat dan seharusnya kedaulatan institusi beraja dijunjung semua pihak.  

“Jadi jangan heret Yang di-Pertuan Agong dalam perbincangan kita. Ini tidak, cakap mana ada Yang di-Pertuan Agong kata sokong Kerajaan Perpaduan, suruh bersama bentuk perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Mini Karnival Usahawan Desa (KUD)@ Sungai Besar dan Sentuhan Kasih Desa Selangor di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam hari ini. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita semua ada Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong. Jangan samakan Raja dengan kita. Raja tak boleh cakap dan kempen macam ini, Raja jaga taraf baginda. Sebab itu kita kata kedaulatan ke bawah Duli Yang Maha Mulia,” katanya. 

Justeru, Anwar berkata semua pihak tidak seharusnya menyinggung Raja-raja Melayu, atau harus menanggung tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka. 

“Kalau saya berbeza pandangan, saya pergi menghadap, ampun Tuanku patik rasa begini dan begini, begitulah caranya. Ini saudara-saudari kena faham,” katanya. —AlHijrah Online

Leave a Reply