HELIKOPTER BOMBA TERHEMPAS, TUJUH SELAMAT

SUBANG JAYA: Sebuah helikopter jenis Leonardo S.p.A AW189 dengan nombor pendaftaran 9M-BOF terhempas di kawasan apron UniKL MIAT Hangar dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Kapten Norazman Mahmud berkata, helikopter yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu sedang menjalani ujian penerbangan.
“Menara kawalan trafik udara Subang menerima laporan kemalangan pada 11.52 pagi dan Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) bertindak segera terhadap insiden terbabit.
“Terdapat tujuh penumpang termasuk juruterbang dalam helikopter terbabit dan kesemuanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016, katanya.—AlHijrah Online