
IPOH: Polis mengesahkan kematian pelajar Tingkatan Tiga Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) semalam berkaitan jerutan pada leher, namun setakat ini tiada unsur jenayah atau buli dikesan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, dapatan itu berdasarkan semakan tiga rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bilik sakit sekolah berkenaan.
“Apabila kita lihat CCTV tersebut memang perbuatan mangsa atau si mati itu memang dia yang laksanakan sendiri. Kita lihat di situ tidak ada foul play ataupun buli, memang tidak wujud,” katanya.
Menurutnya, polis setakat ini sudah merakam percakapan 11 individu terdiri daripada enam pelajar dan lima guru bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, polis masih mendapatkan keterangan daripada rakan-rakan mangsa bagi meneliti latar belakang serta perkembangan pelajar berkenaan sebelum kejadian.
Katanya, mangsa dimaklumkan berada di bilik sakit sekolah sejak Isnin hingga hari kejadian.
Bilik berkenaan disediakan khusus untuk pelajar yang kurang sihat dan dilengkapi CCTV bagi tujuan pemantauan.
“Setakat ini 11 orang sudah dirakam percakapan dan kita masih dalam proses mendapatkan keterangan daripada rakan-rakan si mati,” tambahnya.
Mohd Alwi berkata, kes berkenaan dikendalikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Semalam, seorang pelajar Tingkatan Tiga MCKK ditemukan meninggal dunia di bilik sakit sekolah berkenaan.
Mangsa dipercayai meninggal dunia kira-kira jam 10.35 pagi sebelum ditemukan pada jam 2.45 petang oleh seorang pelajar yang hendak menggunakan tandas. — AlHijrah Online