Connect with us

ALHIJRAH NEWS

JENAZAH PELAJAR SBP DIBAWA PULANG KE NEGERI SEMBILAN UNTUK DIKEBUMIKAN

DALAM NEGARA

JENAZAH PELAJAR SBP DIBAWA PULANG KE NEGERI SEMBILAN UNTUK DIKEBUMIKAN

Jenazah pelajar Tingkatan Tiga yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar dibawa pulang ke Negeri Sembilan untuk dikebumikan selepas proses bedah siasat di Hospital Taiping selesai.

TAIPING: Jenazah pelajar Tingkatan Tiga yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar semalam dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Juasseh, Juasseh, Negeri Sembilan.

Van membawa jenazah Allahyarham dilihat meninggalkan pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Taiping kira-kira jam 3.25 petang selepas urusan dokumentasi dan pengurusan jenazah selesai.

Terdahulu, proses bedah siasat yang bermula kira-kira jam 10 pagi selesai pada jam 1.10 tengah hari.

Suasana pilu menyelubungi pekarangan jabatan berkenaan apabila waris serta warga sekolah berkumpul sejak pagi bagi menunggu proses bedah siasat selesai.

Ahli keluarga terdekat termasuk bapa Allahyarham, Mohd Idzwan Razali, 48, dan isterinya serta wakil sekolah kelihatan tenang namun tidak dapat menyembunyikan kesedihan sambil saling menenangkan antara satu sama lain.

Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Datuk Zulkafli Mohamed Mokhtar turut hadir di Jabatan Perubatan Forensik kira-kira jam 1.55 tengah hari.

Semalam, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengesahkan seorang pelajar Tingkatan Tiga ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar.

Susulan kejadian itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus tanpa kompromi sekiranya terdapat unsur kecuaian atau pelanggaran prosedur keselamatan. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top